Category: Tazkirah
Belasungkawa : Al Fadhil Ustaz Fadzli al-Yamani, Perginya Seorang Faqih Shafie
KUALA LUMPUR , 27 Sept – Hari yang suram menerima berita duka pemergian seorang tokoh agama dan pendakwah yang disanjung tinggi dan terkenal bukan sahaja di dalam negara tetapi di luar negara.
Tepat jam 12.30 malam, berita sedih pemergian Al-Fadhil Ustaz Mohd Fadzli al-Yamani, 49, menemui penciptaNya dikongsikan oleh anak sulung Allahyarham, Muhammad Abdul Rahman memasuki segenap muka depan laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp yang dikongsi oleh sesiapa sahaja yang mengenali beliau.
Pengarah Pusat Media IKIM, Dr. Nik Roskiman Abdul Samad turut menerima panggilan telefon daripada Muhammad dari Guangzhou, China memaklumkan berita sedih pemergian ayahandanya di Guangzhou, China akibat serangan jantung. Ketika kejadian, Allahyarham baharu sahaja mendarat dari Lanzhou bersama sekitar 30 orang ahli rombongan dalam misi dakwah ke negara China, dimaklumkan rebah di lapangan terbang Guangzhou semasa menunggu bas untuk ke hotel penginapan.
Ustaz Mohd Fadzli Al-Yamani atau nama sebenarnya Syed Muhammad Fadzli bin Syed Ahmad dilahirkan pada 2 Januari 1967 di Kuala Ketil, Kedah. Beliau meninggalkan empat orang balu dan 17 orang anak yang berusia antara 20 hingga 2 minggu.
Pendidikan
Almarhum mendapat pendidikan awal di Pondok Penanti Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Kemudian menyambung pengajian dalam bidang pengajian Fekah di Hudaidah, Barat Yaman. Semasa menuntut di Yaman, beliau berguru dengan seorang tokoh agama tempatan terkemuka Tuan Guru Shaikh Haidar.
Beliau yang turut mendapat pendidikan di Pakistan dan Bangladesh merupakan seorang pakar fiqh Imam as-Shafei R.A, terkenal di kalangan ulama di seluruh dunia kerana ilmu dan kealimannya dalam bidang ilmu agama Islam.
Pengasas Madrasah al-Yamani
Almarhum Ustaz Fadzli merupakan pengasas Madrasah al-Yamani yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur ditubuhkan pada tahun 1995 sejurus selepas menamatkan pengajiannya di Yaman. Tujuan utama penubuhan madrasah ini adalah untuk mencurahkan bakti kepada masyarakat setelah lebih sepuluh tahun mendalami ilmu agama di perantauan seperti di Yaman, Pakistan dan Bangladesh.
Madrasah al-Yamani bermula secara informal dengan pengambilan hanya beberapa orang pelajar yang dikendalikan sendiri oleh al-marhum di Flat PKNS, Kampung Baru, sebelum berpindah ke tempat yang lebih besar dengan pelajar yang semakin ramai pada hari ini.
Madrasah al-Yamani berkembang secara perlahan mengikut kemampuan kewangan madrasah dan juga tempat penginapan pelajar dan tenaga pengajar. Pada waktu ini madrasah menampung seramai 90 orang pelajar. Pelajar dari luar negara adalah Thailand, Kemboja, Vietnam, Filipina, Indonesia dan Myanmar. Segala perbelanjaan dan pengurusan madrasah ditanggung secara dalaman dan juga infaq (sumbangan sedekah ) daripada individu dan syarikat persendirian. Inilah keistimewaan Madrasah al-Yamani di mana ia tidak mengenakan sebarang yuran dan semuanya ditanggung oleh Madrasah yang dianggarkan antara 60-70 ribu sebulan.
Perjalanan madrasah itu menggunakan pendekatan sistem pengajian pondok. Ianya merupakan suatu sistem pembelajaran ilmu agama cara lama yang bermula di zaman Rasulullah S.A.W di Mekah dan Madinah. Sistem itu telah bertapak di Malaysia dan Nusantara sejak berabad lamanya dan telah berjaya menghasilkan ribuan ulama’ yang warak lagi berwibawa membimbing umat ke arah mentaati perintah Allah s.w.t berasaskan al-Quran dan al-Sunnah.
Dakwah
Kecintaan yang tinggi terhadap bidang ilmu agama Islam membawa al-Marhum menjelajah ke suluruh asia tenggara, negara Timur Tengah bahkan negara-negara lain seperti China, Pakistan untuk tujuan penyebaran dakwah Islamiah.
Beliau turut mengajar kitab Mantan Zubad karangan Imam Ibn Raslan di sekolah-sekolah pondok tempatan dan luar negara seperti Kemboja, Thailand dan negara lain. Beliau juga mempunyai jadual kuliah yang padat di masjid-masjid dan surau di seluruh negara.
Pengetahuan ilmu agama yang umpama seluas air di lautan, beliau dijadikan sumber rujukan oleh para asatizah serta para pendakwah lain terutama dalam bidang fiqh. Beliau juga adalah Lembaga Penasihat Madrasah Tahfiz di Sri Lanka.
Radio IKIMfm
Almarhum adalah panel tetap rancangan Tahsinul Ibadah yang diterbitkan setiap Khamis, 10.15 pagi hingga 11.00 pagi di stesen radio IKIMfm sejak Januari 2014.
Keterangannya yang jelas, penyampaian yang mudah difahami serta ketajaman ilmu dalam bidang fiqh membuatkan program berkenaan antara rancangan radio yang mendapat sambutan tertinggi di kalangan pendengar radio ini.
Almarhum juga seorang yang amat komited dan mempunyai disiplin diri yang tinggi. Tidak hairanlah program berkenaan masih terus bertahan sehingga ke hari ini yang memasuki usia 5 tahun.
Bahkan, rancangan tersebut terus berada pada momentum yang sama menerima sambutan hangat di kalangan pendengar. Rancangan yang kini diterbitkan oleh Fairuz Haji Nordin itu pernah tercalon dalam kategori Rancangan Agama Radio Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 2016.
Jenazah Almarhum akan dibawa pulang dari Guangzhou, China dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kuala Lumpur.
AL FATIHAH
Hakikat Merdeka Sebenar
“ALLAH telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan Allah Ta’ala, daripada kesempitan dunia kepada dunia yang lapang, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”
Itu adalah kata-kata bijak yang terpacul dari mulut seorang sahabat Baginda Rasuulullah SAW yang hebat bernama Rib’ie bin Amir RA ketika di tanyakan tujuan kehadirannya ke bumi Parsi. Sebuah kisah yang mashyur, pertemuan bersejarah Rib’ie bin Amir RA dengan panglima tentera Parsi bernama Rustum telah membawa sebuah slogan kemerdekaan serta kebebasan yang sebenar daripada kaca mata Islam.
Ungkapan keramat yang cukup hebat tersebut telah di kongsikan oleh Naqib Usrah Nurani, Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joofre untuk Usrah Jumaat lalu bersama rakan Usrah di konti iaitu Fakhrul (UNIC) dan Ustaz Mahmud Fahrurrazi. Ucapan tersebut memberi makna yang besar untuk manusia memahami erti sebenar sebuah kemerdekaan.
Pada saat dunia yang dilanda pelbagai fitnah akhir zaman ini, kemantapan iman dan akal yang bijaksana amat diperlukan bagi membuat pilihan yang tepat. Justeru, diri akan terbebas daripada belenggu penjajahan pemikiran yang merupakan ancaman yang jauh lebih kritikal daripada penjajahan fizikal.
Cara berfikir perlu kepada asas faham Islam yang baik. Memahami prinsip asas kewujudan di dunia dan misi akhir matlamat kehidupan untuk sejahtera dan bahagia di alam akhirat. Jika objektif itu jelas, maka walau datang teknologi paling canggih atau peralatan paling maju tidak akan menggoyahkan prinsip dan agamanya malah akan di manfaat segala kemajuan dan teknologi tersebut mengikut acuan yang di redhaiNya. Itu adalah contoh pembebasan minda yang sebenar yang perlu diusahakan oleh setiap individu agar bebas daripada anasir penakhluk akal yang merosak dalam diam serta menghancur dalam samar.
Kedatangan Islam sendiri ke alam dunia ini membawa mesej dan sifat kemerdekaan. Islam menyeru manusia supaya membebaskan diri dan pemikiran daripada belenggu jahiliah serta kemusyrikan terhadap Allah SWT. Membebaskan diri daripada perhambaan dan melepaskan negara daripada cengkaman musuh.
Islam dalam erti kata kesejahteraan, kedamaian dan keamanan semuanya menjurus kepada maksud kemerdekaan. Hakikat ini dapat dilihat semasa perkembangan awal Islam yang banyak memerdekakan negara dari cengkaman kekufuran. Selain itu, Islam juga menyifatkan merdeka sebagai bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Lantaran itu, Islam talah berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada perhambaan sesama manusia ataupun perhambaan terhadap hawa nafsu yang diselaputi oleh syirik, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan.
Satu lagi bentuk penjajahan adalah dalam bentuk ketagihan perhatian daripada manusia sehingga alpa bahawa perhatian Allah lebih utama. Manusia lebih cenderung untuk dilihat hebat di mata manusia dengan segala harta, darjat dan pangkat yang dimiliki. Ibrah menerusi kisah Rib’i bin Amir, beliau melakukan hal itu dalam rangka meruntuhkan mental pasukan Parsi yang begitu mengagungkan harta. Saat Rustum bertanya kepada Rib’i bin Amir,”Risalah apa yang kalian bawa?”.
Rib’i menjawab,”Allah mengutus kami untuk mengeluarkan manusia dari penghambaan terhadap sesama hamba menuju penghambaan kepada Sang pencipta. Menyelamatkan manusia dari kezaliman atas nama isme-isme menuju keadilan yang diwujudkan oleh Islam. Membawa manusia dari sempitnya dunia menuju kelapangan dunia dan akhirat…”
Apa yang dilakukan oleh Rib’i bin Amir terhadap bangsa Parsi mencerminkan kemerdekaan jiwa yang dimiliki oleh seorang muslim. Beliau tidak merasa rendah di hadapan para pemuja harta, juga tidak merasa hina berhadapan dengan para penguasa, karana beliau memiliki jiwa yang merdeka oleh tarbiyah Islam. Tidak hanya itu, risalah yang disampaikan Rib’i bin Amir juga melambangkan kemerdekaan itu sendiri.
Justeru, umat Islam hendaklah sentiasa berazam untuk membebaskan diri daripada sifat-sifat yang boleh meruntuhkan wibawa kamanusiaan kerana sifat-sifat yang demikian amat dimurkai Allah dan akan hanya menyebabkan manusia terpenjara di bawah arahan nafsu dan telunjuk syaitan. Dan lebih jauh dari itu, hendaklah sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT agar mendapat keredhaanNya dan terlepas daripada siksaan api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batan. Inilah nilai sebenar kemerdekaan yang diajarkan oleh agama Islam.
Bijaknya Dakwah Nabi Ibrahim A.S
SETIAP certita di dalam Al-Quran adalah cerita yang terbaik untuk kehidupan kita yang menawarkan motivasi serta solusi kepada masalah yang kita hadapi. Cerita-cerita daripada Allah SWT pasti memberikan kita Ibrah dan pengajaran.
Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman berkongsi kisah dakwah Nabi Ibrahim AS menerusi segmen Ibrah yang bersiaran minggu lalu di IKIMfm pada hari Isnin, 5.15 petang.
Ustaz turut berkongsi bagaimana ustaz menghayati kisah dakwah Nabi Ibrahim AS saat berada di bumi Turki yang turut sama menjadi lokasi dakwah Nabi Ibrahim AS. Penghayatan terhadap sejarah kegemilangan Islam dan kisah perjuangan nabi-nabi terdahulu lebih mudah untuk kita rasai sekiranya berada di lokasi di mana sejarah itu terukir.
Sebulan ustaz berada di bumi Turki membawakan penjelajahan ke beberapa kawasan antaranya, Kota Harran, merupakan antara salah satu kota tertua di dunia. Sejarawan dan pakar arkeologi mengatakan Nabi Ibrahim AS pernah singgah di Kota Harran apabila Baginda diselamatkan oleh Allah SWT daripada api yang panas menjulang ketika Baginda mahu dibakar hidup-hidup oleh Raja Namrud di tempat kelahiran Nabi Ibrahim AS sendiri, Sanliurfa, Turki.
Sejarah menceritakan di Kota Harran ini, Nabi Ibrahim AS pernah menyantuni satu kaum yang menyembah bintang, bulan dan matahari. Di Kota Harran, kita dapat menyaksikan satu keindahan alam sekitar dan panorama langit yang terbentang indah kerana pandangan tidak dihalang oleh bukit bukau yang terlalu banyak termasuklah binaan-binaan yang tinggi.
Di sini juga kita dapat menyaksikan seolah-olah langit dan bumi itu seakan-akan bercantum antara satu sama lain. Maka, tidak hairanlah ada kaum pada ketika itu yang menyembah bintang, bulan dan matahari dan menganggap sebagai tuhan kerana keindahan lukisan alamnya.
Ramai di antara saintis-saintis Islam khususnya dalam bidang astronomi, belajar dan menghayati sains itu sendiri di salah sebuah universiti lama di Harran yang kini hanya tinggal dinding-dinding serta menara sahaja kerana musnah ketika diserang oleh Tartar pada suatu ketika dahulu. Sarjana ulung Islam seperti Ibnu Hayyan juga pernah menuntut di universiti yang mengkaji tentang angkasa lepas di kota Harran ini. Lokasinya yang strategi memudahkan pembelajaran tentang ilmu falak dijalankan kerana terdapat pelbagai kemudahan khas seperti balai-balai cerap di kota Harran.
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran menerusi Surah Al-An’aam ayat 75 – 78 yang bermaksud : Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”.Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”.Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).
Empat ayat ini perlu kita hayati sebagai satu proses dakwah yang terbaik kepada manusia. Pengajaran yang diajarkan menerusi ayat-ayat ini melalui bagaimana Allah SWT memperlihatkan keindahan ciptaan alam sekitar kepada Nabi Ibrahim AS ketika baginda masih muda. Maknanya, dalam proses mendidik anak-anak, kita perlu dedahkan mereka dengan merenung langit dan bumi agar mereka dapat mengenal Allah SWT dan kekuasannya.
Menariknya, menurut Tafsir Al-Wasit, As-Sheikh Tantawi menyebut perkataan ‘Nuri’ pada ayat 75 yang membawa maksud memperlihatkan itu adalah merujuk kepada perbuatan yang berterusan yang tidak terbatas hanya kepada Nabi Ibrahim AS sahaja. Bahkan, fenomena penciptaan langit dan bumi ini akan berterusan dan boleh dihayati sehingga kini. Cuma persoalannya, wujudkah anak muda hari ini yang ingin merenung langit seperti Nabi Ibrahim AS serta menginal pencipta-Nya.
Apabila Nabi Ibrahim AS melihat keindahan alam, dan meyakini bahawa Allah SWT yang menciptakan Baginda dan segala isi bumi ini, maka, pada saat itu Baginda mendekati satu kaum yang menjadikan alam ini sebagai tuhan mereka. Ketika itu, Nabi Ibrahim AS memikirkan cara yang terbaik untuk menyampaikan mesej tauhid kepada mereka.
Baginda memilih waktu yang sesuai sebagai pendekatan untuk berdakwah kepada mereka. Imam As-Sheik Al-Alusi, ulama tafsir menyatakan ini sebagai satu pendekatan yang paling berhikmah oleh Nabi Ibrahim AS. Baginda memilih waktu malam yang penuh gelap gelita tanpa cahaya bulan dan hanya bertemankan cahaya bintang.
Saat kaum tersebut memuja cahaya bintang sebagai tuhan mereka, maka Nabi Ibrahim AS mendekati dan mengatakan “Inikah Tuhanku?”. Bukanlah ayat ini mengatakan Nabi Ibrahim AS memuja bintang, tetapi ini sebagai pendekatan dakwah Nabi Ibrahim AS yang sangat halus dan bijak. Apabila berlalu malam dan fajar mula muncul, maka saat itu Nabi Ibrahim AS mengatakan kamu lihatlah bagaimana cahaya yang kamu sembah tadi mulai hilang. Maka pada ketika itu, Nabi Ibrahim AS mengatakan baginda tidak menyukai sesuatu yang tenggelam. Kemudian peralihan matahari ke bulan, Nabi Ibrahim AS juga menyeru kaum tersebut dengan perkataan yang tidak terus menyalahkan kaum tersebut. Sebaliknya, Baginda menggunakan pendekatan yang lunak dan halus agar mereka berfikir. Nabi Ibrahim AS menutup seruan dakwahnya kepada kaum di Kota Harran dengan doa Iftitah yang sentiasa kita baca di dalam solat.
Beginilah bagaimana Allah SWT mendidik Nabi Ibrahim AS agar sentiasa merenung kejadian langit dan bumi serta berdakwah dengan penuh hikmah agar yang diseru kepada dakwah tidak mudah berasa hati lalu pergi tanpa menerima kesan dakwah tersebut.
Semoga kita jadikan ayat-ayat Allah SWT sebagai bukti kekuasaan-Nya dan melihat alam ciptaan Allah SWT sebagai pelajaran terbaik dalam kehidupan kita.
Tagged with: Berita Harian, BH, Faiz Hj. Othman, ibrah
Kiamat : Saat Bumi Tergoncang & Digoncang
DI dalam Surah Al-Zalzalah, Allah menceritakan bagaimana keadaan yang berlaku kepada bumi saat tibanya hari kiamat, maksudnya: “Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya. Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya , Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?” Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
Daripada Ali bin Ma’bad meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, katanya, Rasulullah SAW telah bersabda: “Apabila Allah selesai menciptakan langit dan bumi, Dia menciptakan sangkakala dan memberikannya kepada malaikat Israfil. Lalu malaikat Israfil memberikannya kepada anak buahnya yang matanya sentiasa memandang ke Arasy menunggu perintah untuk meniupkannya.” Abu Hurairah bertanya kepada Baginda, “Wahai Rasulullah apakah sangkakala itu?” Lalu Baginda menjawab, “Ia sebuah tanduk yang amat besar. Demi diriku yang berada di tangannya, besar lingkaran dan lubangnya seperti lingkaran di antara langit dan bumi, kelak akan ditiup sebanyak tiga kali. Tiupan yang pertama untuk mengejutkan, tiupan kedua akan memusnahkan dan tiupan ketiga untuk membangkitkan semula makhluk untuk menghadap Allah SWT.” Tiupan pertama oleh malaikat Israfil mengejutkan semua makhluk, manusia kebingungan kecuali mereka yang dipilih oleh Allah. Pada waktu itu semuanya datang di dalam keadaan merendah diri, tunduk dan takut kepada Allah. Dan Allah berfirman, “Dan kamu boleh melihat bukit-bukit dan gunung –gunung yang kamu sangkakan kuat sebelum ini, dia akan berterbangan dan seperti awan-awan yang bergerak.” Kemudian Allah berkata, “Semua itu ciptaan Allah yang diciptakan sempurna sebelum saat itu. Sesungguhnya Dia (Allah) maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Rasulullah menjelaskan keadaan ini berlaku pada hari Jumaat pada pertengahan bulan Ramadan.
Menurut perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani melalui slot Mau’izati pada setiap Khamis, jam 5.15 petang di IKIMfm, seperti yang disebut oleh Allah, pada hari itu tiupan sangkakala yang pertama akan menggoncangkan alam. Diikuti tiupan kedua, hati manusia ketika itu berada di dalam keadaan yang kering (tiada perasaan) kerana ketakutan yang amat sangat. Pada ketika itu bumi di dalam keadaan seperti perahu di lautan yang bergoyang dengan dahsyat dipukul ombak. Ibu yang menyusukan anak sekalipun akan mencampakkan anaknya pada ketika itu sedangkan pada hakikatnya seorang ibu amat menyayangi anaknya, tetapi oleh kerana kebingungan, seorang ibu sanggup melakukan perkara sedemikian. Ibu-ibu yang mengandung akan mengalami keguguran dan menurut Rasulullah, wajah anak-anak kecil akan berubah menjadi wajah orang tua dan kelihatan syaitan-syaitan berterbangan melarikan diri sehingga mereka tiba di suatu tempat dan ditangkap oleh para malaikat dan memukul mereka sehingga mati.
Pada ketika itu manusia manusia benar-benar berada di dalam ketakutan dan masing-masing memanggil-manggil di antara satu sama lain. Allah menjelaskan, “Wahai kaum-Ku sesungguhnya aku ini benar-benar bimbang terhadap kamu akan hari siksaan, hari yang masing-masing di dalam keadaan berpaling ke belakang dan berlari. Tidak ada seorang pun yang dapat menyelamatkan diri daripada azab Allah SWT. Siapa yang disesatkan oleh Allah, dia tidak akan diberi petunjuk oleh Allah.” Pada masa itu mereka melihat perkara luar biasa yang tidak pernah disaksikan sebelum ini, ditimpa dengan perasaan mabuk dan mengalami gegaran yang luar biasa dan hanya Allah mengetahui ketakutan mereka pada waktu itu. Kemudian mereka memandang ke arah langit, lalu tiba-tiba langit menjadi cair, matahari dan bulan terbelah, bintang-bintang hancur berkecai dan kemudian langit ditutup untuk mereka. Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang sudah mati tidak mengetahui sedikitpun tentang peritiwa itu.” Lalu Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah siapakah yang dikecualikan sebagaimana firman Allah SWT. Rasulullah berkata, “Mereka adalah para syuhada yang sentiasa mendapat rezeki daripada Allah, kejutan bagi mereka yang masih hidup sahaja.” Allah SWT mahukan orang yang merasakan kejahatan mereka pada hari yang amat dahsyat itu memberikan keselamatan bagi para syuhada dan azab kepada mereka yang sentiasa melakukan dosa.
Allah berfirman maksudnya, “Wahai manusia, bertakwalah kamu pada tuhanmu. Sesungguhnya goncangan pada saat hari Allah menutup ala mini, satu benda yang menggemparkan di dalam hidup kamu.” Manusia berada di dalam seperti itu sehingga masa yang diinginkan oleh Allah. Para ulama menceritakan setelah berlakunya tiupan sangkakala yang pertama, manusia berada di dalam ketakutan dan dengan tiupan kedua menyebabkan mereka mula berhamburan dalam kebingungan dan rasa tersiksa. Segala gerak dan aturan alam menjadi hancur, matahari dan bulan musnah berkepingan dan langit terbelah, gugusan langit akan luluh. Alam dipenuhi dengan asap tebal dan awan hitam kegelapan, manusia bertempikan dan mati bergelimpangan tanpa ada satupun yang tersisa di atas muka bumi ini.
Setiap benda di dunia ini semuanya akan hancur, yang kekal hanyalah Allah yang mempunyai ketinggian dan kemuliaan. Firman Allah, “Jangan sekali-kali kamu berdoa dan meminta kepada selain daripada-Ku kerana tidak ada tuhan melainkan Dia. Setiap benda yang ada di atas muka bumi ini semua akan musnah dan hancur lebur kecuali yang tidak hancur ialah Allah dan Dialah (Allah) pemutus segala urusan pada hari tersebut kamu akan dikembalikan kepada Allah.”
7 Kualiti Manusia
DI hari kiamat kelak manusia akan dihimpun dan dipertanggungjawabkan dengan setiap yang dilakukan selama di dunia. Saat kondisi matahari terlalu hampir dengan ubun-ubun pastinya memeritkan untuk sampai giliran penghisaban.
Ketika padatnya Padang Mahsyar dengan kaki tanpa beralas di tambah suhu yang merimaskan, tiba-tiba wujud kelompok hambaNya yang tenang berekat di bawah naungan. Siapakah golongan tersebut? Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari sahabat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. Pemimpin yang adil, Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah, Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid, Dua orang yang saling mencintai kerana Allah; berkumpul dan berpisah kerana Allah juga, Seorang lelaki yang di ajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata; ‘Aku takut kepada Allah’, Seseorang yang bersedekah dengan menyembuyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.” (HR Bukhari)
Usrah Nurani Jumaat lepas membincangkan kepentingan kelompok ini dalam masyarakat hari ini. Dalam kalut melengkapi hidup, dunia dan akhirat perlu bertaut dalam membetul letak duduk matlamat. Umpama peninju tersohor; Muhammad Ali yang perlu kepada jurulatih walau sudah masyhur beribu kejayaan yang pernah diraih. Tujuannya supaya ada yang lihat dan atur setiap silap menjadi betul serta dapat mencatur perkiraan yang tepat yang berkemungkinan Muhammad Ali sendiri tidak dapat melihat. Justeru, naqib usrah; Ustaz Zul Ramli M. Razali membawa semua rakan usrah termasuk rakan usrah di konti; Puan Hajah Mazita Ahmad dan Ustaz Rosdi Hj. Long untuk memahami motivasi yang telah di gariskan oleh Allah SWT sebagai kayu ukur dalam meletakkan kualiti dalam diri seseorang.
Golongan pertama adalah pemimpin yang adil. Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang yang berlaku adil berada di sisi Allah di atas mimbar yang terbuat dari cahaya, di sebelah kanan Ar-Rahman sedangkan kedua tangan Allah adalah kanan semua-. Yaitu orang-orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan tugas yang dibebankan kepada mereka.” (HR. Muslim). Setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan oleh Allah kelak atas setiap yang di pimpinnya. Untuk itu, spemimpin perlu bertindak adil sehingga semua orang yang dipimpinya boleh merasakan perkhidmatan yang maksimum dan tidak timbul sebarang persoalan atas pimpinannya.
Seterusnya adalah pemuda yang membesar dalam ketaatan dan kebiasaan melaksanakan ibadah. Pemuda dalam ketegori ini sangat bijak mengatur nafsunya daripada terjerumus dalam kemaksiatan.
Selain itu, naungan arasy Allah ini juga di tawarkan kepada pemuda yang hatinya terikat dengan masjid. Pemuda yang tidak akan terlepas setiap peluang untuk memakmurkan masjid dengan ibadah dan amal-amal soleh secara istiqamah, terutama solat fardhu berjemaah. Hatinya selalu ‘risau dan resah’ apabila jauh dari masjid, dan berasa sedih tatkala tidak mampu mendatangi masjid di waktu-waktu solat berjemaah dan ketika majlis diadakan.
Keindahan dua orang yang saling mencintai kerana Allah; berkumpul dan berpisah kerana Allah juga dijanjikan naungan tersebut di hati kiamat. Di samping itu, pada lelaki yang diajak berzina oleh seorang perempuan kaya dan cantik tetapi dia menolaknya dan menegaskan bahawa, “Aku takut pada Allah” juga tidak terkecuali mendapat naungan Allah ini.
Bagi seseorang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi sehingga dinisbahkan tangan kirinya tidak tahu akan pemberian tangan kanannya. Sesungguhnya, keikhlasan adalah salah satu syarat amal kebajikan diterima oleh Allah SWT. Keikhlasan sememangnya sukar, oleh yang demikian hanya yang benar-benar ikhlas sahaja tidak mampu dipesongkan niatnya oleh syaitan.
Akhir sekali adalah golongan yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sendirian hingga kedua matanya basah akibat menangis. Amalan ini yang sangat berat dan tidak akan dirasakan kecuali oleh orang yang mempunyai keteguhan iman dan benar-benar takut kepada Allah ketika dia sendiri maupun ketika dia bersama orang lain. Dan tangisan yang lahir dari kedua sifat ini merupakan tangisan karena takut kepada Allah Ta’ala.
Selaku hamba yang masih dipinjamkan nyawa di dunia ini. Semoga dihidayahkan dengan kebijaksanaan untuk mengambil kata-kata Rasulullah SAW ini sebagai ikhtibar dan hikmah dalam mengejar redha Allah sehingga mampu tergolong dalam salah satu daripada 7 golongan yang mendapat naungan Allah SWT di Hari Qiamat kelak, kerana hanya dengan naungan Allah itu sahaja yang mampu selamatkan diri daripada kepedihan hari pembalasan.
Sumber:www.ikimfm.my
Muhasabah Diri Hadapi El-Nino
Perubahan cuaca panas melampau dan berpanjangan yang melanda negara pada ketika ini akibat daripada fenomena El-Nino pastinya begitu dirasai oleh kita semua. Malahan, dalam keadaan cuaca panas begini terdengar rungutan rakan-rakan yang mengeluh tidak dapat tidur lena pada malam hari dek kepanasan kesan daripada bahang El-Nino, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak mempunyai kelengkapan penghawa dingin di rumah.
Lebih membimbangkan apabila baru-baru ini akhbar melaporkan kesan langsung daripada fenomena El-Nino ini telah menyebabkan bacaan paras empangan turut merosot dan didapati enam empangan di seluruh negara berada pada tahap kritikal. Dalam situasi sekarang, sebarang kemungkinan boleh berlaku memandangkan tiada tanda-tanda yang menunjukkan fenomena El-Nino akan berakhir dalam jangka masa terdekat.
Persediaan rapi perlu diambil agar kesan El-Nino dapat dihadapi dan ditangani dengan sebaik mungkin terutamanya dalam menjamin bekalan air sentiasa mencukupi untuk kegunaan seharian, selain memastikan sektor pertanian dan perikanan tidak terjejas teruk. Kelangsungan bekalan air yang mencukupi sangat penting untuk diberi perhatian. Ini memandangkan air merupakan elemen terpenting dalam kehidupan seluruh makhluk di atas muka bumi. Sementelah, 70 peratus tubuh badan kita juga sebahagian besarnya adalah terdiri daripada air.
Bayangkan, apa akan terjadi sekiranya krisis bekalan air berlaku? Pastinya ia akan memberi kesan yang lebih buruk lagi kepada kehidupan manusia. Ini kerana, hasil daripada kajian mendapati bahawa manusia masih boleh hidup tanpa bekalan makanan sehingga 92 hari, namun hanya boleh bertahan selama 72 jam sahaja tanpa bekalan minuman.
Di sini jelas memperlihatkan kepada kita tentang kepentingan air bukan sahaja dalam kehidupan manusia, tetapi juga kepada makhluk hidupan lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengan tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan ke-Esaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.” (Surah al-Baqarah, ayat 164).
Walaupun pada masa ini didapati bekalan air masih lagi terkawal, namun kita sebagai pengguna perlu mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan yakni sentiasa berjimat cermat dan berhemah dalam penggunaan sumber air. Misalnya, menghadkan penggunaan air dengan membuat pembahagian secara bijak untuk kegunaan seharian seperti mandi, memasak dan membasuh, selain menyimpan bekalan air yang mencukupi di dalam tong sebagai persediaan awal sekiranya bekalan air terputus pada masa akan datang.
Selain itu, pastikan pengambilan air minuman seharian adalah mencukupi kerana kekurangan air di dalam badan manusia akibat musim panas dengan suhu yang mencecah 40 darjah celcius juga amat bahaya dan boleh menyebabkan berlakunya perubahan kandungan garam galian dalam tubuh yang seterusnya boleh mengundang seseorang mengalami strok haba.
Dalam kita melakukan pelbagai langkah berjaga-jaga seperti meminum air yang mencukupi dan menggunaan air secara berhemah, ujian El-Nino ini juga sebenarnya merupakan peluang untuk kita bermuhasabah diri merenung kembali kekhilafan dan kealpaan kita dalam menunaikan tanggungjawab kita selaku khalifah Allah yang telah diamanahkan untuk memakmurkan bumi.
Sesungguhnya, kita perlu sedar bahawa kenaikan suhu dunia (pemanasan global) yang berlaku pada hari ini adalah berpunca daripada perbuatan manusia sendiri yang begitu rakus melakukan kerosakan demi kerosakan di atas muka bumi. Firman Allah SWT: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (Surah ar-Ruum, ayat 41).
Ditulis oleh Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin. Posted in Sinar Harian