Bijaknya Dakwah Nabi Ibrahim A.S
SETIAP certita di dalam Al-Quran adalah cerita yang terbaik untuk kehidupan kita yang menawarkan motivasi serta solusi kepada masalah yang kita hadapi. Cerita-cerita daripada Allah SWT pasti memberikan kita Ibrah dan pengajaran.
Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman berkongsi kisah dakwah Nabi Ibrahim AS menerusi segmen Ibrah yang bersiaran minggu lalu di IKIMfm pada hari Isnin, 5.15 petang.
Ustaz turut berkongsi bagaimana ustaz menghayati kisah dakwah Nabi Ibrahim AS saat berada di bumi Turki yang turut sama menjadi lokasi dakwah Nabi Ibrahim AS. Penghayatan terhadap sejarah kegemilangan Islam dan kisah perjuangan nabi-nabi terdahulu lebih mudah untuk kita rasai sekiranya berada di lokasi di mana sejarah itu terukir.
Sebulan ustaz berada di bumi Turki membawakan penjelajahan ke beberapa kawasan antaranya, Kota Harran, merupakan antara salah satu kota tertua di dunia. Sejarawan dan pakar arkeologi mengatakan Nabi Ibrahim AS pernah singgah di Kota Harran apabila Baginda diselamatkan oleh Allah SWT daripada api yang panas menjulang ketika Baginda mahu dibakar hidup-hidup oleh Raja Namrud di tempat kelahiran Nabi Ibrahim AS sendiri, Sanliurfa, Turki.
Sejarah menceritakan di Kota Harran ini, Nabi Ibrahim AS pernah menyantuni satu kaum yang menyembah bintang, bulan dan matahari. Di Kota Harran, kita dapat menyaksikan satu keindahan alam sekitar dan panorama langit yang terbentang indah kerana pandangan tidak dihalang oleh bukit bukau yang terlalu banyak termasuklah binaan-binaan yang tinggi.
Di sini juga kita dapat menyaksikan seolah-olah langit dan bumi itu seakan-akan bercantum antara satu sama lain. Maka, tidak hairanlah ada kaum pada ketika itu yang menyembah bintang, bulan dan matahari dan menganggap sebagai tuhan kerana keindahan lukisan alamnya.
Ramai di antara saintis-saintis Islam khususnya dalam bidang astronomi, belajar dan menghayati sains itu sendiri di salah sebuah universiti lama di Harran yang kini hanya tinggal dinding-dinding serta menara sahaja kerana musnah ketika diserang oleh Tartar pada suatu ketika dahulu. Sarjana ulung Islam seperti Ibnu Hayyan juga pernah menuntut di universiti yang mengkaji tentang angkasa lepas di kota Harran ini. Lokasinya yang strategi memudahkan pembelajaran tentang ilmu falak dijalankan kerana terdapat pelbagai kemudahan khas seperti balai-balai cerap di kota Harran.
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran menerusi Surah Al-An’aam ayat 75 – 78 yang bermaksud : Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”.Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”.Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).
Empat ayat ini perlu kita hayati sebagai satu proses dakwah yang terbaik kepada manusia. Pengajaran yang diajarkan menerusi ayat-ayat ini melalui bagaimana Allah SWT memperlihatkan keindahan ciptaan alam sekitar kepada Nabi Ibrahim AS ketika baginda masih muda. Maknanya, dalam proses mendidik anak-anak, kita perlu dedahkan mereka dengan merenung langit dan bumi agar mereka dapat mengenal Allah SWT dan kekuasannya.
Menariknya, menurut Tafsir Al-Wasit, As-Sheikh Tantawi menyebut perkataan ‘Nuri’ pada ayat 75 yang membawa maksud memperlihatkan itu adalah merujuk kepada perbuatan yang berterusan yang tidak terbatas hanya kepada Nabi Ibrahim AS sahaja. Bahkan, fenomena penciptaan langit dan bumi ini akan berterusan dan boleh dihayati sehingga kini. Cuma persoalannya, wujudkah anak muda hari ini yang ingin merenung langit seperti Nabi Ibrahim AS serta menginal pencipta-Nya.
Apabila Nabi Ibrahim AS melihat keindahan alam, dan meyakini bahawa Allah SWT yang menciptakan Baginda dan segala isi bumi ini, maka, pada saat itu Baginda mendekati satu kaum yang menjadikan alam ini sebagai tuhan mereka. Ketika itu, Nabi Ibrahim AS memikirkan cara yang terbaik untuk menyampaikan mesej tauhid kepada mereka.
Baginda memilih waktu yang sesuai sebagai pendekatan untuk berdakwah kepada mereka. Imam As-Sheik Al-Alusi, ulama tafsir menyatakan ini sebagai satu pendekatan yang paling berhikmah oleh Nabi Ibrahim AS. Baginda memilih waktu malam yang penuh gelap gelita tanpa cahaya bulan dan hanya bertemankan cahaya bintang.
Saat kaum tersebut memuja cahaya bintang sebagai tuhan mereka, maka Nabi Ibrahim AS mendekati dan mengatakan “Inikah Tuhanku?”. Bukanlah ayat ini mengatakan Nabi Ibrahim AS memuja bintang, tetapi ini sebagai pendekatan dakwah Nabi Ibrahim AS yang sangat halus dan bijak. Apabila berlalu malam dan fajar mula muncul, maka saat itu Nabi Ibrahim AS mengatakan kamu lihatlah bagaimana cahaya yang kamu sembah tadi mulai hilang. Maka pada ketika itu, Nabi Ibrahim AS mengatakan baginda tidak menyukai sesuatu yang tenggelam. Kemudian peralihan matahari ke bulan, Nabi Ibrahim AS juga menyeru kaum tersebut dengan perkataan yang tidak terus menyalahkan kaum tersebut. Sebaliknya, Baginda menggunakan pendekatan yang lunak dan halus agar mereka berfikir. Nabi Ibrahim AS menutup seruan dakwahnya kepada kaum di Kota Harran dengan doa Iftitah yang sentiasa kita baca di dalam solat.
Beginilah bagaimana Allah SWT mendidik Nabi Ibrahim AS agar sentiasa merenung kejadian langit dan bumi serta berdakwah dengan penuh hikmah agar yang diseru kepada dakwah tidak mudah berasa hati lalu pergi tanpa menerima kesan dakwah tersebut.
Semoga kita jadikan ayat-ayat Allah SWT sebagai bukti kekuasaan-Nya dan melihat alam ciptaan Allah SWT sebagai pelajaran terbaik dalam kehidupan kita.
Tagged with: Berita Harian, BH, Faiz Hj. Othman, ibrah