Month: May 2016
Bijaknya Dakwah Nabi Ibrahim A.S
SETIAP certita di dalam Al-Quran adalah cerita yang terbaik untuk kehidupan kita yang menawarkan motivasi serta solusi kepada masalah yang kita hadapi. Cerita-cerita daripada Allah SWT pasti memberikan kita Ibrah dan pengajaran.
Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman berkongsi kisah dakwah Nabi Ibrahim AS menerusi segmen Ibrah yang bersiaran minggu lalu di IKIMfm pada hari Isnin, 5.15 petang.
Ustaz turut berkongsi bagaimana ustaz menghayati kisah dakwah Nabi Ibrahim AS saat berada di bumi Turki yang turut sama menjadi lokasi dakwah Nabi Ibrahim AS. Penghayatan terhadap sejarah kegemilangan Islam dan kisah perjuangan nabi-nabi terdahulu lebih mudah untuk kita rasai sekiranya berada di lokasi di mana sejarah itu terukir.
Sebulan ustaz berada di bumi Turki membawakan penjelajahan ke beberapa kawasan antaranya, Kota Harran, merupakan antara salah satu kota tertua di dunia. Sejarawan dan pakar arkeologi mengatakan Nabi Ibrahim AS pernah singgah di Kota Harran apabila Baginda diselamatkan oleh Allah SWT daripada api yang panas menjulang ketika Baginda mahu dibakar hidup-hidup oleh Raja Namrud di tempat kelahiran Nabi Ibrahim AS sendiri, Sanliurfa, Turki.
Sejarah menceritakan di Kota Harran ini, Nabi Ibrahim AS pernah menyantuni satu kaum yang menyembah bintang, bulan dan matahari. Di Kota Harran, kita dapat menyaksikan satu keindahan alam sekitar dan panorama langit yang terbentang indah kerana pandangan tidak dihalang oleh bukit bukau yang terlalu banyak termasuklah binaan-binaan yang tinggi.
Di sini juga kita dapat menyaksikan seolah-olah langit dan bumi itu seakan-akan bercantum antara satu sama lain. Maka, tidak hairanlah ada kaum pada ketika itu yang menyembah bintang, bulan dan matahari dan menganggap sebagai tuhan kerana keindahan lukisan alamnya.
Ramai di antara saintis-saintis Islam khususnya dalam bidang astronomi, belajar dan menghayati sains itu sendiri di salah sebuah universiti lama di Harran yang kini hanya tinggal dinding-dinding serta menara sahaja kerana musnah ketika diserang oleh Tartar pada suatu ketika dahulu. Sarjana ulung Islam seperti Ibnu Hayyan juga pernah menuntut di universiti yang mengkaji tentang angkasa lepas di kota Harran ini. Lokasinya yang strategi memudahkan pembelajaran tentang ilmu falak dijalankan kerana terdapat pelbagai kemudahan khas seperti balai-balai cerap di kota Harran.
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran menerusi Surah Al-An’aam ayat 75 – 78 yang bermaksud : Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”.Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”.Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).
Empat ayat ini perlu kita hayati sebagai satu proses dakwah yang terbaik kepada manusia. Pengajaran yang diajarkan menerusi ayat-ayat ini melalui bagaimana Allah SWT memperlihatkan keindahan ciptaan alam sekitar kepada Nabi Ibrahim AS ketika baginda masih muda. Maknanya, dalam proses mendidik anak-anak, kita perlu dedahkan mereka dengan merenung langit dan bumi agar mereka dapat mengenal Allah SWT dan kekuasannya.
Menariknya, menurut Tafsir Al-Wasit, As-Sheikh Tantawi menyebut perkataan ‘Nuri’ pada ayat 75 yang membawa maksud memperlihatkan itu adalah merujuk kepada perbuatan yang berterusan yang tidak terbatas hanya kepada Nabi Ibrahim AS sahaja. Bahkan, fenomena penciptaan langit dan bumi ini akan berterusan dan boleh dihayati sehingga kini. Cuma persoalannya, wujudkah anak muda hari ini yang ingin merenung langit seperti Nabi Ibrahim AS serta menginal pencipta-Nya.
Apabila Nabi Ibrahim AS melihat keindahan alam, dan meyakini bahawa Allah SWT yang menciptakan Baginda dan segala isi bumi ini, maka, pada saat itu Baginda mendekati satu kaum yang menjadikan alam ini sebagai tuhan mereka. Ketika itu, Nabi Ibrahim AS memikirkan cara yang terbaik untuk menyampaikan mesej tauhid kepada mereka.
Baginda memilih waktu yang sesuai sebagai pendekatan untuk berdakwah kepada mereka. Imam As-Sheik Al-Alusi, ulama tafsir menyatakan ini sebagai satu pendekatan yang paling berhikmah oleh Nabi Ibrahim AS. Baginda memilih waktu malam yang penuh gelap gelita tanpa cahaya bulan dan hanya bertemankan cahaya bintang.
Saat kaum tersebut memuja cahaya bintang sebagai tuhan mereka, maka Nabi Ibrahim AS mendekati dan mengatakan “Inikah Tuhanku?”. Bukanlah ayat ini mengatakan Nabi Ibrahim AS memuja bintang, tetapi ini sebagai pendekatan dakwah Nabi Ibrahim AS yang sangat halus dan bijak. Apabila berlalu malam dan fajar mula muncul, maka saat itu Nabi Ibrahim AS mengatakan kamu lihatlah bagaimana cahaya yang kamu sembah tadi mulai hilang. Maka pada ketika itu, Nabi Ibrahim AS mengatakan baginda tidak menyukai sesuatu yang tenggelam. Kemudian peralihan matahari ke bulan, Nabi Ibrahim AS juga menyeru kaum tersebut dengan perkataan yang tidak terus menyalahkan kaum tersebut. Sebaliknya, Baginda menggunakan pendekatan yang lunak dan halus agar mereka berfikir. Nabi Ibrahim AS menutup seruan dakwahnya kepada kaum di Kota Harran dengan doa Iftitah yang sentiasa kita baca di dalam solat.
Beginilah bagaimana Allah SWT mendidik Nabi Ibrahim AS agar sentiasa merenung kejadian langit dan bumi serta berdakwah dengan penuh hikmah agar yang diseru kepada dakwah tidak mudah berasa hati lalu pergi tanpa menerima kesan dakwah tersebut.
Semoga kita jadikan ayat-ayat Allah SWT sebagai bukti kekuasaan-Nya dan melihat alam ciptaan Allah SWT sebagai pelajaran terbaik dalam kehidupan kita.
Tagged with: Berita Harian, BH, Faiz Hj. Othman, ibrah
Kiamat : Saat Bumi Tergoncang & Digoncang
DI dalam Surah Al-Zalzalah, Allah menceritakan bagaimana keadaan yang berlaku kepada bumi saat tibanya hari kiamat, maksudnya: “Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya. Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya , Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?” Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
Daripada Ali bin Ma’bad meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, katanya, Rasulullah SAW telah bersabda: “Apabila Allah selesai menciptakan langit dan bumi, Dia menciptakan sangkakala dan memberikannya kepada malaikat Israfil. Lalu malaikat Israfil memberikannya kepada anak buahnya yang matanya sentiasa memandang ke Arasy menunggu perintah untuk meniupkannya.” Abu Hurairah bertanya kepada Baginda, “Wahai Rasulullah apakah sangkakala itu?” Lalu Baginda menjawab, “Ia sebuah tanduk yang amat besar. Demi diriku yang berada di tangannya, besar lingkaran dan lubangnya seperti lingkaran di antara langit dan bumi, kelak akan ditiup sebanyak tiga kali. Tiupan yang pertama untuk mengejutkan, tiupan kedua akan memusnahkan dan tiupan ketiga untuk membangkitkan semula makhluk untuk menghadap Allah SWT.” Tiupan pertama oleh malaikat Israfil mengejutkan semua makhluk, manusia kebingungan kecuali mereka yang dipilih oleh Allah. Pada waktu itu semuanya datang di dalam keadaan merendah diri, tunduk dan takut kepada Allah. Dan Allah berfirman, “Dan kamu boleh melihat bukit-bukit dan gunung –gunung yang kamu sangkakan kuat sebelum ini, dia akan berterbangan dan seperti awan-awan yang bergerak.” Kemudian Allah berkata, “Semua itu ciptaan Allah yang diciptakan sempurna sebelum saat itu. Sesungguhnya Dia (Allah) maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Rasulullah menjelaskan keadaan ini berlaku pada hari Jumaat pada pertengahan bulan Ramadan.
Menurut perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani melalui slot Mau’izati pada setiap Khamis, jam 5.15 petang di IKIMfm, seperti yang disebut oleh Allah, pada hari itu tiupan sangkakala yang pertama akan menggoncangkan alam. Diikuti tiupan kedua, hati manusia ketika itu berada di dalam keadaan yang kering (tiada perasaan) kerana ketakutan yang amat sangat. Pada ketika itu bumi di dalam keadaan seperti perahu di lautan yang bergoyang dengan dahsyat dipukul ombak. Ibu yang menyusukan anak sekalipun akan mencampakkan anaknya pada ketika itu sedangkan pada hakikatnya seorang ibu amat menyayangi anaknya, tetapi oleh kerana kebingungan, seorang ibu sanggup melakukan perkara sedemikian. Ibu-ibu yang mengandung akan mengalami keguguran dan menurut Rasulullah, wajah anak-anak kecil akan berubah menjadi wajah orang tua dan kelihatan syaitan-syaitan berterbangan melarikan diri sehingga mereka tiba di suatu tempat dan ditangkap oleh para malaikat dan memukul mereka sehingga mati.
Pada ketika itu manusia manusia benar-benar berada di dalam ketakutan dan masing-masing memanggil-manggil di antara satu sama lain. Allah menjelaskan, “Wahai kaum-Ku sesungguhnya aku ini benar-benar bimbang terhadap kamu akan hari siksaan, hari yang masing-masing di dalam keadaan berpaling ke belakang dan berlari. Tidak ada seorang pun yang dapat menyelamatkan diri daripada azab Allah SWT. Siapa yang disesatkan oleh Allah, dia tidak akan diberi petunjuk oleh Allah.” Pada masa itu mereka melihat perkara luar biasa yang tidak pernah disaksikan sebelum ini, ditimpa dengan perasaan mabuk dan mengalami gegaran yang luar biasa dan hanya Allah mengetahui ketakutan mereka pada waktu itu. Kemudian mereka memandang ke arah langit, lalu tiba-tiba langit menjadi cair, matahari dan bulan terbelah, bintang-bintang hancur berkecai dan kemudian langit ditutup untuk mereka. Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang sudah mati tidak mengetahui sedikitpun tentang peritiwa itu.” Lalu Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah siapakah yang dikecualikan sebagaimana firman Allah SWT. Rasulullah berkata, “Mereka adalah para syuhada yang sentiasa mendapat rezeki daripada Allah, kejutan bagi mereka yang masih hidup sahaja.” Allah SWT mahukan orang yang merasakan kejahatan mereka pada hari yang amat dahsyat itu memberikan keselamatan bagi para syuhada dan azab kepada mereka yang sentiasa melakukan dosa.
Allah berfirman maksudnya, “Wahai manusia, bertakwalah kamu pada tuhanmu. Sesungguhnya goncangan pada saat hari Allah menutup ala mini, satu benda yang menggemparkan di dalam hidup kamu.” Manusia berada di dalam seperti itu sehingga masa yang diinginkan oleh Allah. Para ulama menceritakan setelah berlakunya tiupan sangkakala yang pertama, manusia berada di dalam ketakutan dan dengan tiupan kedua menyebabkan mereka mula berhamburan dalam kebingungan dan rasa tersiksa. Segala gerak dan aturan alam menjadi hancur, matahari dan bulan musnah berkepingan dan langit terbelah, gugusan langit akan luluh. Alam dipenuhi dengan asap tebal dan awan hitam kegelapan, manusia bertempikan dan mati bergelimpangan tanpa ada satupun yang tersisa di atas muka bumi ini.
Setiap benda di dunia ini semuanya akan hancur, yang kekal hanyalah Allah yang mempunyai ketinggian dan kemuliaan. Firman Allah, “Jangan sekali-kali kamu berdoa dan meminta kepada selain daripada-Ku kerana tidak ada tuhan melainkan Dia. Setiap benda yang ada di atas muka bumi ini semua akan musnah dan hancur lebur kecuali yang tidak hancur ialah Allah dan Dialah (Allah) pemutus segala urusan pada hari tersebut kamu akan dikembalikan kepada Allah.”
7 Kualiti Manusia
DI hari kiamat kelak manusia akan dihimpun dan dipertanggungjawabkan dengan setiap yang dilakukan selama di dunia. Saat kondisi matahari terlalu hampir dengan ubun-ubun pastinya memeritkan untuk sampai giliran penghisaban.
Ketika padatnya Padang Mahsyar dengan kaki tanpa beralas di tambah suhu yang merimaskan, tiba-tiba wujud kelompok hambaNya yang tenang berekat di bawah naungan. Siapakah golongan tersebut? Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dari sahabat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. Pemimpin yang adil, Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah, Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid, Dua orang yang saling mencintai kerana Allah; berkumpul dan berpisah kerana Allah juga, Seorang lelaki yang di ajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata; ‘Aku takut kepada Allah’, Seseorang yang bersedekah dengan menyembuyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.” (HR Bukhari)
Usrah Nurani Jumaat lepas membincangkan kepentingan kelompok ini dalam masyarakat hari ini. Dalam kalut melengkapi hidup, dunia dan akhirat perlu bertaut dalam membetul letak duduk matlamat. Umpama peninju tersohor; Muhammad Ali yang perlu kepada jurulatih walau sudah masyhur beribu kejayaan yang pernah diraih. Tujuannya supaya ada yang lihat dan atur setiap silap menjadi betul serta dapat mencatur perkiraan yang tepat yang berkemungkinan Muhammad Ali sendiri tidak dapat melihat. Justeru, naqib usrah; Ustaz Zul Ramli M. Razali membawa semua rakan usrah termasuk rakan usrah di konti; Puan Hajah Mazita Ahmad dan Ustaz Rosdi Hj. Long untuk memahami motivasi yang telah di gariskan oleh Allah SWT sebagai kayu ukur dalam meletakkan kualiti dalam diri seseorang.
Golongan pertama adalah pemimpin yang adil. Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang yang berlaku adil berada di sisi Allah di atas mimbar yang terbuat dari cahaya, di sebelah kanan Ar-Rahman sedangkan kedua tangan Allah adalah kanan semua-. Yaitu orang-orang yang berlaku adil dalam hukum, adil dalam keluarga dan adil dalam melaksanakan tugas yang dibebankan kepada mereka.” (HR. Muslim). Setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan oleh Allah kelak atas setiap yang di pimpinnya. Untuk itu, spemimpin perlu bertindak adil sehingga semua orang yang dipimpinya boleh merasakan perkhidmatan yang maksimum dan tidak timbul sebarang persoalan atas pimpinannya.
Seterusnya adalah pemuda yang membesar dalam ketaatan dan kebiasaan melaksanakan ibadah. Pemuda dalam ketegori ini sangat bijak mengatur nafsunya daripada terjerumus dalam kemaksiatan.
Selain itu, naungan arasy Allah ini juga di tawarkan kepada pemuda yang hatinya terikat dengan masjid. Pemuda yang tidak akan terlepas setiap peluang untuk memakmurkan masjid dengan ibadah dan amal-amal soleh secara istiqamah, terutama solat fardhu berjemaah. Hatinya selalu ‘risau dan resah’ apabila jauh dari masjid, dan berasa sedih tatkala tidak mampu mendatangi masjid di waktu-waktu solat berjemaah dan ketika majlis diadakan.
Keindahan dua orang yang saling mencintai kerana Allah; berkumpul dan berpisah kerana Allah juga dijanjikan naungan tersebut di hati kiamat. Di samping itu, pada lelaki yang diajak berzina oleh seorang perempuan kaya dan cantik tetapi dia menolaknya dan menegaskan bahawa, “Aku takut pada Allah” juga tidak terkecuali mendapat naungan Allah ini.
Bagi seseorang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi sehingga dinisbahkan tangan kirinya tidak tahu akan pemberian tangan kanannya. Sesungguhnya, keikhlasan adalah salah satu syarat amal kebajikan diterima oleh Allah SWT. Keikhlasan sememangnya sukar, oleh yang demikian hanya yang benar-benar ikhlas sahaja tidak mampu dipesongkan niatnya oleh syaitan.
Akhir sekali adalah golongan yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sendirian hingga kedua matanya basah akibat menangis. Amalan ini yang sangat berat dan tidak akan dirasakan kecuali oleh orang yang mempunyai keteguhan iman dan benar-benar takut kepada Allah ketika dia sendiri maupun ketika dia bersama orang lain. Dan tangisan yang lahir dari kedua sifat ini merupakan tangisan karena takut kepada Allah Ta’ala.
Selaku hamba yang masih dipinjamkan nyawa di dunia ini. Semoga dihidayahkan dengan kebijaksanaan untuk mengambil kata-kata Rasulullah SAW ini sebagai ikhtibar dan hikmah dalam mengejar redha Allah sehingga mampu tergolong dalam salah satu daripada 7 golongan yang mendapat naungan Allah SWT di Hari Qiamat kelak, kerana hanya dengan naungan Allah itu sahaja yang mampu selamatkan diri daripada kepedihan hari pembalasan.
Sumber:www.ikimfm.my